http://www.buletinonline.net/images/stories/berita25/IMG_4926.JPGHULU SELANGOR – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat menyelar serangan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dan menyifatkannya ia adalah satu "kerja bodoh dan kebudak-budakan".

Beliau berkata tindakan tersebut adalah kerana Umno/ BN sudah tidak ada modal dalam menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Beliau yang juga Menyteri Besar Kelantan berkata perlawanan tersebut adalah diantara parti, sepatutnya Umno/BN menyerang parti bukan peribadi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

"Calon ini (Zaid adalah) calon parti, Kalau Umno ada modal, serang parti lah, jangan serang tubuh (peribadi individu). Ini kerja bodoh, ini kerja budak-budak.

"Ini calon parti. Parti A dan Parti B. Parti A lawan Parti B. Parti B lawan parti A. Jangan serang peribadi.

"Macam budak budak kecil lah, kalau dia boleh bertumbuk, dia bertumbuk. Kalau tak boleh bertumbuk, dia jebeh (menjelir lidah), dia meludah. Itu semata-mata nak lepas geram, tanda dia tak boleh jawab," katanya dalam sidang media pertamanya sejurus tiba di sini.

Tok Guru NikAziz berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung kempen Umno/BN yang memburuk-burukkan peribadi Zaid yang mendakwa beliau seorang peminum arak tegar dan mempunyai kuda lumba untuk berjudi.

Beliau yang baru pulang dari tanah suci Mekah kerana menunaikan umrah menyifatkan perangai pimpinan Umno/BN sebagai satu perkara yang cukup memalukan politik Malaysia.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Zaid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin DAP Lim Kit Siangdan naib presiden PKR Azmin Ali.

Dalam sidang media yang sama, Zaid yang juga bekas menteri kabinet menjelaskan bahawa beliau amat menghormati kealiman dan ketinggian ilmu menteri besar Kelantan itu.

Katanya, beliau amat terharu apabila Nik Aziz menelefonnya sebanyak dua kali dari Mekah, memintanya bersabar ketika berdepan dengan serangan peribadi terhadapnya di Hulu Selangor.

HULU SELANGOR, 23 April: Lima anggota Pemuda PKR pagi tadi dihadapkan semula ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru kerana menurunkan billbord berunsur krontroversi dan fitnah angkara Umno/BN hanya menggunakan pisau lipat berharga 20 sen.

Faris Musa, salah seorang yang didakwa berkata, pendakwaan seolah-olah tidak berpuas hati dengan ketetapan Majistret Zuraidah Zakaria menolak dakwaan pasukan pendakwaraya yang mengatakan mereka yang terbabit membawa senjata berbahaya dan bahan letupan.

"Hari ini, kami diminta ke mahkamah semula untuk didakwa di bawah Syeksyen 427 Kanun Keseksaan di bawah Syeksen 6 (1) dan (Seksyen) 8 kerana membawa senjata bahaya dan letupan.

“Sebenarnya kami hanya bawa pisau lipat harganya 20 sen, mungkin sebab itu hakim Zuraidah Zakaria menolak dakwaan mereka," kata beliau berseloroh sambil disambut dengan gelak ketawa para penyokong Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang lain di pekarangan mahkamah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK berkata, Polis sebenarnya merancang untuk mereman beliau dan empat aktivis AMK yang lain sehingga 25 April ini, iaitu pada Hari Mengundi.

Namun, timbalan pendakwa raya menolak inisatif Polis tersebut kerana dakwaan yang dikenakan ke atas mereka tidak setimpal dengan perbuatan mereka menurunkan beberapa billboard menggunakan hanya pisau lipat berharga 20 sen.

Ekoran itu, mereka terus didakwa selepas ditangkap, semalam.

Pun begitu, dengan keputusan Majistret Zuraidah, mereka dibebaskan dengan ikat jamin Polis sendiri.

Selain Faris, mereka yang didakwa adalah Wan Khairul Fadhilah, Amirul Nasr, Ahmad Shabuddin dan Ahmad Sharizan.

Kelmarin, aktivis AMK bersama-sama Briged Srikandi PKR membuat laporan Polis berhubung perbuatan jentera Umno/BN menaikkan billboard yang menghina Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Laporan yang sama, menurut Faris turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) pada hari yang sama.

Disebabkan Polis dan SPR dilihat mengambil sikap sambil lewa dengan perlanggaran demokrasi angkara Umno/BN itu, Faris bersama sekumpulan aktivis AMK mengambil keputusan menurunkan beberapa billboard tersebut lalu diserahkan kepada SPR.

Sejurus selesai penyerahan billboard, dilaporkan beliau bersama-sama empat aktivis AMK yang lain terus diberkas Polis tanpa diberitahu sebab-musabab mereka ditangkap.

HULU SELANGOR, 22 April — “Jangan risau, kita boleh lakukan (menang di Hulu Selangor).” Demikian kata-kata ringkas tapi yakin keluar daripada Datuk Zaid Ibrahim ketika menyambut seorang peminatnya yang datang dari luar kawasan Hulu Selangor, di pusat media PKR di Kuala Kubu Baru di sini, petang semalam.

Zaid melahirkan keyakinan itu di sebalik serangan bahawa beliau ‘kaki sosial’ termasuk minum dan menggadai bangunan Umno Kota Baru yang dianggarkan bernilai kira-kira RM9 juta.

“Itu semua cerita-cerita lama,” kata Zaid yang mewakili Parti Keadilan Rakyat di Hulu Selangor untuk mempertahankan kerusi ini.

Zaid Ibrahim bersalam dengan pengundi kawasan Kampung Hassan, Hulu Bernam. - Gambar oleh Choo Choy May

Di sebalik keyakinan itu pengundi-pengundi Hulu Selangor dilihat semakin menerima kehadiran Zaid, calon Pakatan Rakyat, dengan melihatnya sebagai seorang wakil yang mampu membawa sinar baru untuk perubahan besar di Hulu Selangor.

Pengundi-pengundi mengakui kempen yang dijalankan Zaid membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa selain mampu memikul tanggungjawab untuk berkhidmat untuk rakyat.

Ketika ditanya mengenai lawatan beliau menemui pengundi, Zaid, 59, berkata, “saya pasti sudah mengunjungi lebih ramai daripada kunjungan mereka (jentara BN).”

Salah satu risalah yang diedarkan PKR tertera mesej “Datuk Zaid Ibrahim, Bersama Selamatkan Malaysia”.

Dalam Gagasan Buat Hulu Selangor, Zaid berkata, “anda (pengundi Hulu Selangor) memerlukan prasarana yang mudah, lebih ramai pasukan polis, lebih banyak klinik untuk memelihara kesihatan anda dan anak-anak anda.”

“Prasarana, keselamatan dan kesihatan adalah hak asas untuk kesemua rakyat Malaysia. Hulu Selangor memerlukan pemimpin untuk menjuarai keperluan anda. Jika rakyat Hulu Selangor memberikan saya peluang, Insya-Allah, saya percaya saya boleh menjadi pemimpin yang diharapkan itu,” kata Zaid dalam gagasan itu.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati selain berkempen rumah ke rumah, beliau turut meluangkan masa melawat kedai-kedai dan kawasan komersial untuk beramah mesra dengan pengundi. Kempen Zaid juga turut disertai isteri beliau.

“Kempen rumah ke rumah yang dilakukan beliau (Zaid) memang bagus kerana selain berjumpa dengan pengundi, kami juga dapat melihat calon yang akan bertanding secara berdepan.

“Saya melihat beliau seorang yang berkebolehan dan mampu membawa perubahan kepada penduduk Hulu Selangor.

“Selain itu, saya pasti beliau juga mengetahui semua masalah yang dialami rakyat lagipun beliau juga merupakan seorang peguam, mustahil beliau tidak tahu,” kata penduduk Kampung Sungai Choh, Rostam Omar, 55.

CALON TERBAIK

Senada dengan Rostam, seorang pesara, Kapli Kundan, 75, berkata, sebagai pengundi dia hanya mahukan calon terbaik yang dapat menjalankan tanggungjawab untuk rakyat.

“Sejak dari kecil saya sudah duduk di sini dan saya dah melihat ramai wakil rakyat tetapi saya rasa Datuk Zaid adalah seorang individu yang baik dan berwibawa.” katanya.

Kemunculan Zaid Ibrahim pada peringkat awal kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor. - Gambar oleh Choo Choy May

Kapli memberitahu, semua pengundi mahukan yang terbaik jadi dan berharap Zaid akan berpegang kepada janji dan membantu rakyat sekiranya menang Ahad ini.

“Kalau beliau menang perkara pertama yang saya mahu minta adalah supaya beliau dapat membaik pulih rumah saya yang sudah uzur,” kata Kapli.

Seorang lagi pesara, Ibrahim Sidek, 74, juga berpendapat Zaid boleh membawa perubahan besar kepada rakyat Hulu Selangor.

“Tadi beliau jumpa saya dan bersalaman dengan saya. Soal menang atau kalah saya tidak boleh cakap kerana ia terpulang kepada pengundi tetapi sebagai rakyat, saya pasti mahukan calon yang terbaik,” katanya.

Peluang menemui secara bersemuka telah membolehkan seorang suri rumah Shamsiah Abdul Samad, 45, melihat sifat sebenar Zaid.

“Hari ini, baru dapat jumpa beliau semasa menjalankan kempen rumah ke rumah,” katanya.

Kawasan Parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

Daripada jumlah itu, DUN Batang Kali mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 29,026 pengundi diikuti Kuala Kubu Baru (18,040) dan Hulu Bernam (17,434). Orang Melayu merupakan majoriti dengan 53 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan 26 peratus dan 19 peratus.

Selain itu, majoriti pengundi berpendapat bahawa kempen rumah ke rumah yang dijalankan memberikan kesan kepada pemilihan calon yang bertanding semasa hari pengundian nanti.

Pemandu lori, K. Marimuthu, 43, berkata, kebanyakan isu yang dibawa dalam kempen rumah ke rumah penting kepada pengundi-pengundi Hulu Selangor terutamanya tentang ekonomi, pembangunan dan juga isu nasional.

“Bukan sahaja isu ekonomi ataupun pembangunan rakyat penting tetapi isu nasional seperti MEB (Model Ekonomi Baru) dan juga APCO Worldwide. Bukan semua orang faham mengenai isu ini, saya sendiri pun kurang memahaminya.

“Bila mereka datang ke rumah dan menerangkan secara terperinci mengenai isu-isu tersebut baru saya faham apa yang berlaku sebenarnya begitu juga dengan isu ekonomi dan pembangunan di sini.

“Banyak maklumat yang saya dapat melalui kempen rumah ke rumah, saya sudah tidak perlu untuk ke ceramah-ceramah lagi kerana banyak yang saya sudah dapat,” kata anak kelahiran Serendah itu.

MAKLUMAT

Sementara itu, seorang peniaga Phang Kei Chan, 39, mengakui banyak masalah terpaksa dilalui di Hulu Selangor, namun disebabkan kekurangan sumber maklumat majoriti pengundi tidak mengetahuinya.

“Jadi bila ada pilihan raya kecil ini semua maklumat dapat disalurkan dengan mudah melalui kempen rumah ke rumah.

“Kesemua maklumat yang diberikan kepada pengundi memang penting kerana ia akan mempengaruhi mereka untuk mengundi siapa ketika hari pengundian nanti,” katanya.

Kakitangan awam, Mohd Zulkifli Muda, 31, berkata, isu-isu yang dibawa sama ada parti BN ataupun pembangkang dalam kempen rumah ke rumah amat penting kepada pengundi.

“Saya tidak kisah sekiranya yang datang itu dari BN atau pembangkang kerana isu yang dibawa mereka itu lebih penting.

“Isu seperti ekonomi, pembangaunan, masalah rakyat dan isu nasional seperti MEB dan APCO Worldwide sebenarnya penting kepada pengundi-pengundi.

“Apabila mereka sudah mengetahui apa yang berlaku maka mereka akan membuat keputusan untuk memilih siapa sebagai wakil rakyat mereka nanti,” katanya.

Suri rumah, J. Saraswathy, 42, berkata, banyak isu yang dibawa melalui kempen rumah ke rumah samada dari parti BN ataupun pembangkang.

“Mereka akang datang dan memberikan penerangan tentang isu-isu yang berkaitan dengan Hulu Selangor seperti pembangunan, pendidikan, isu semasa dan juga nasional termasuk MEB, APCO Worldwide.

“Selain itu, mereka turut memberikan penerangan tentang calon mereka. Apa keistimewaan calon, apa yang calon boleh buat dan apa janji calon kepada pengundi disini.

“Kempen sebegini bagus kerana saya tidak perlu keluar untuk mendapatkan maklumat sebaliknya mereka yang datang dan memberikan penerangan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batang Kali dekat sini.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Rakyat.

HULU SELANGOR, 22 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijangka berada di sini esok untuk membantu berkempen membuat rayuan terbuka meminta pengundi-pengundi Hulu Selangor agar memilih calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, Ahad ini.

Rayuan itu disiarkan dalam Harakah edisi 23-25 April.

“Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

“Sehubungan itu, saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim dari Keadilan,” kata Nik Aziz (gambar ) yang juga Menteri Besar Kelantan.

Rayuan terbuka itu dibuat ketika Zaid berhadapan dengan serangan peribadi sebagai kaki sosial termasuk mengambil arak.

Zaid sudah membuat pengakuan bahawa telah berubah, yang turut ditekankan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Zaid pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Baru, Kelantan dari 2004 hingga 2008.

Nik Aziz berkata, beliau yakin atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan anggota Kabinet persekutuan Zaid mampu melaksanakan dan tugas dan tanggungjawab untuk membela harapan rakyat Hulu Selangor.

“Keluarlah mengundi beramai-ramai, dengan hiraukan ugutan Umno-BN,” kata beliau.

Pengundian pilihan raya kecil bahagian Hulu Selangor ini, yang mempunyai lebih 64,000 pengundi akan keluar mengundi Ahad ini pada pilihan raya kecil pertama bagi negeri ini sejak Mac 2008.

Kata Nik Aziz, jadikan ingatan ini sebagai panduan utama untuk pengundi sekalian menjadi seorang yang berhak mengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi dan memangkah kertas undi dengan pasangkan niat “sesungguhnya aku mengundi untuk nenegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”

Dalam rayuan terbuka itu Nik Aziz menggariskan empat perkara pengundi perlu mengetahui tentang Umno-BN yang menurutnya memberi gambaran sikap sebenar parti berkenaan.

“Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS.

“Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada cara hidup beragama,” kata beliau.

Perkara kedua, menurut beliau ialah tindakan pemimpin Umno yang telah menghapuskan penggunaan tulisan Jawi.

“Rakyat kena persoalkan, ke mana Umno nak bawa rakyat? Nak kata Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan tulisan Jawi,” katanya.

“Perkara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini?

“Sedangkan PAS sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat Islam di negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi?

“Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak,” kata beliau dengan mengaitkan isu bayaran royalti minyak.

Perkara keempat menurut beliau ialah amalan salah perjuangan Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum.

“Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu. Dan, paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS,” kata Nik Aziz lagi.

Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak Melayu dengan hak bukan Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hal Melayu-PAS, tambah beliau.

“Paling teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan serta hak-hak antara negeri diperintah Umno-BN dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat,” katanya.

KUALA LUMPUR, 21 April: Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan pemimpin Umno/Barisan Nasional (BN) sebagai 'talam dua muka' apabila bertindak mengungkit segala kisah lampau calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim hanya kerana beliau meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangannya, Salbiah Abdul Wahab berkata, ternyata Umno/BN sudah ketandusan isu sehinga bertindak meyerang peribadi calon sedangkan mereka tidak akan mempeduli segala sikap buruk seseorang itu apabila ianya berada dalam Umno/BN.

"Inilah Umno/BN yang mempunyai talam dua muka. Meludah ke langit sambil ekor bergelumang dengan tahi.

"Kalau yang minum arak, yang membunuh, yang kuat menerima rasuah, yang suka berjudi, berfoya-foya dan segala perangai buruk dan sifat-sifat buruk itu ada pada para pemimpin Umno/BN, tidak mengapa.

"Tetapi kalau sifat buruk ini ada pada calon Pakatan Rakyat pada waktu dahulu, calon ini dibelasah habis," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, para pengundi di Parlimen Hulu Selangor perlu menyedari sikap hipokrit Umno/BN itu dan menerima hakikat bahawa Zaid kini bukan lagi Zaid ketika berada dalam Umno/BN dahulu.

Beliau turut mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan segala janji manis yang ditabur Umno/BN pada pilihan raya kecil kali ini sebaliknya bertindak sebijak mungkin dalam menghadapi godaan Umno/BN.

"Pengundi Hulu Selangor dan rakyat seluruhnya semakin disajikan dengan propaganda yang memualkan dan tawaran-tawaran yang indah dan manis oleh BN.

"Wang ditabur untuk meraih simpati pengundi, kononnya itu wang poket mereka. Kepada para pengundi, kalau susah menolaknya, ambillah wang tersebut kerana itu adalah wang kutipan cukai rakyat yang sepatutnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan kebajikan. Tetapi pemimpin Umno/BN telah menggunakan hasil kutipan tersebut secara tidak bermoral," katanya.

Justeru, katanya Muslimat PAS menyeru agar para pengundi membuat pilihan yang tepat dengan memilih calon PR pada pilihan raya kecil ini dan mengakui bahawa PR benar-banar mengambil berat kebajikan rakyat.

"Dewan Muslimat ingin mengajak dan merayu para pengundi, insya Allah, Pakatan Rakyat ingin menawarkan kebajikan yang seutuhnya untuk rakyat.

"Rakyat telah boleh menerima hakikat kerajaan yang baru dua tahun ini memang memikirkan kebajikan dan kemudahan rakyat berbanding 50 tahun BN memerintah negara ini khususnya di negeri Selangor ini.

"Kepada para pengundi, gunakan kuasa sakti anda untuk menolak Barisan Nasional pada 25 April ini," katanya.

Zaid meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana tidak bersetuju dengan kerajaan yang menahann Teresa Kok, Raja Petra dan seorang wartawan Sin Chew Daily di bawah ISA. Bukannya mudah melihat seorang pemimpin UMNO yang mempunyai kuasa dan pangkat meletakkan jawatannya atas dasar prinsip dan maruah.


Sebaik saja menjawat jawatan menteri, Zaid cuba untuk membersihkan institusi kehakiman dan ingin melakukan beberapa perubahan. Langkah Zaid yang paling diingati ialah cadangannya supaya kerajaan menebus dosa silam dengan membayar ex-gratia pada 5 orang peguam yang dianiayai pada lewat 80-an. Ketika itu kerajaan di bawah pemerintahan Mahathir.


Sekarang bermacam-macam penyelewengan yang semakin membarah di dalam pentadbiran negara. Tapi ada tindakan pemimpin-pemimpin UMNO? Mereka buat seperti lembu kenyang. Tak kisah asalkan poket penuh, walaupun ada diantara mereka yang menyedari hakikat ini. Tapi nak buat macam mana, kalau bersuara habislah segala kemudahan. Ini pemimpin UMNO, mana ada maruah.


Kalau ya pun Zaid minum arak dan berjudi, itu di zaman UMNO okay. Dan itu juga menunjukkan perangai-perangai sebenar pemimpin UMNO. Kalau Zaid pernah begitu di dalam UMNO, apatah lagi pemimpin-pemimpin UMNO yang lain? Tak usah tunjuk baiklah. Sebelum serang peribadi orang, cermin sikit diri tu.


Orang Melayu, tolong buka mata! Jaga maruah kamu.

PAS sudah lama memaafkan Zaid. Zaid sudah lama bertaubat. Islam melarang membuka aib orang yang sudah bertaubat. Yang sudah tu sudahlah. Paling penting beliau sedia melawan kemungkaran. Zaid pun senang dengan PAS.


Walaupun pernah terluka dengan tindakan Zaid terhadap Kerajaan Kelantan 17 tahun lalu, Tok Guru dah lama maafkan Zaid. Lusa beliau datang ke Hulu Selangor untuk bagi sokongan kepada Zaid. Semoga berkat bersalaman dengan tok guru membuahkan hasil kemenangan kepada Zaid nanti, InshaAllah.



Zaid letak jawatan dalam kabinet kerana menentang ISA. Tahun lepas beliau ambil keputusan untuk sertai rakyat dalam perarakan anti ISA. Walaupun lututnya sudah tidak sekuat 30 tahun lalu, tapi beliau tetap tidak mahu ketinggalan bersama-sama membantah kezaliman.

HULU SELANGOR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP.


Oleh itu, beliau mahu semua pihak dalam PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat itu.


Abdul Hadi berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis meraikan para petugas PAS dari Terengganu yang berkumpul di Felda Sungai Tengi, Ulu Bernam petang tadi.


Lebih 100 petugas PAS dari negeri itu berkumpul di situ dan menerima amanat dari beliau serta lain-lain pimpinan PAS sebelum menjalankan tugas sehingga pilihan raya kecil ini pada 25 April nanti.


"Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia Umno dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam Umno. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan Umno," kata beliau penuh semangat diiringi takbir dari para penyokong PAS.


Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.


"Ketika para pemimpin Umno lain berebut-rebut nak jadi pemimpin, dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna ISA," kata Abdul Hadi merujuk tindakan Zaid melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah tindakan kerajaan menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.


Berhubung dengan tindakan firma guaman Zaid menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud, Abdul Hadi menegas itu apa yang Zaid buat sebagai pemimpin Umno dan dia telah menarik balik tindakan itu.


"Itu semasa dia bersama Umno...sekarang dia sudah keluar dari Umno. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita," kata beliau.


Abdul Hadi juga memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.


Ucapan Abdul Hadi di majlis itu penuh semangat serta menjawab pelbagai persoalan panas yang berbangkit dalam pilihan raya kecil ini walaupun hujan mencurah-curah ketika beliau berucap sehingga banjir kilat di sekitarnya.


Felda Sungai Tengi adalah salah satu kawasan Felda yang menjadi kubu Umno dalam Dun Hulu Bernam di Hulu Selangor. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Datuk Dr Zainal kalah lebih 600 undi di peti undi itu.


Dalam pilihan raya ini, Umno menjadikan empat kawasan Felda sebagai pangkalan gerakan mereka untuk memenangkan calon BN, P Kamalanathan dari MIC.


Namun, ketidakpuasan hati ahli Umno di situ jelas dalam pilihan raya ini. Mereka melalui Umno Hulu Selangor berusaha keras untuk mempastikan seorang calon Umno bertanding dalam pilihan raya kecil ini, namun apa yang mereka dapat adalah kosong berbanding MIC yang mendapat tiga menjelang hari penamaan calon.


Selain dapat menjadi calon, Timbalan Presiden MIC, G Palanivel yang mereka tidak sukai dikatakan akan dilantik menjadi senator dan timbalan menteri.


Salah seorang dari mereka berkata, jika BN menang dalam pilihan raya kecil ini, harapan untuk calon Umno bertanding di kawasan Parlimen yang majoriti orang Melayu ini akan hilang terus.






Nama: Mohd. Zaid Ibrahim
Umur: Lahir pada tahun 1951 di Kelantan
Pendidikan: Ijazah Undang-Undang, LLB Hons (1974)
Barrister at Law Inner Temple 1975
Kerjaya: Bersara (100% Ahli Politik Sekarang)
Website: http://myzaidibrahim.wordpress.com/
Twiter: http://twitter.com/zaidibrahim
Facebook: Datuk Zaid Ibrahim


Sejarah pembabitan dalam politik

Mula berkecimpung di bidang politik pada tahun 1986
melalui UMNO, walaupun mula aktif hanya selepas tahun 1990.
2001: Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.
2003: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO.
2004-2008: Ahli Parlimen BN Kota Bharu, yang pertama sejak 1990.
2005: Digantung dari jawatan Ketua Bahagian dan
digugurkan sebagai calon 2008.

Mac 2008: Dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat dan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang & reformasi badan kehakiman).
Sept 2008: Meletakkan jawatan Senator dan Menteri
sebagai protes penggunaan ISA ke atas 3 rakyat Malaysia.
Dec 2008: Dipecat dari UMNO kerana menulis surat terbuka
kepada Perdana Menteri Malaysia tentang pendiriannya mengenai ISA.
Jun 2009: Menganggotai PKR. Seterusnya dilantik
sebagai menjadi anggota Majlis Tertinggi PKR,
AJK Biro Politik PKR dan Penyelaras Pakatan Rakyat.


Dalam masa 25 tahun bermula 1987 - Datuk Zaid berjaya menubohkan syarikat guaman Zaid Ibrahim & CO dari hanya mempunyai saorang peguam hinggalah melebehi 140 orang pada tahun 2008 menjadikan firma itu yang terbesar di negara. Beliau bersara dari syarikat tersebut bila menerima jawatan Menteri pada tahun 2008.

Keadilan untuk Semua

Datuk Zaid Ibrahim memberikan perhatian berat terhadap aspek sistem perundangan kita yang tidak adil, termasuklah penggunaan ISA dan keperluan reformasi badan kehakiman.

Beliau percaya keadilan adalah untuk semua dan menolak politik perkauman.

Beliau berhasrat mempertingkatkan ketelusan dalam Kerajaan – dari memperbaiki ketelusan dalam pentadbiran Petronas dan FELDA sehinggalah usaha untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan.

Datang dari keluarga yang miskin, beliau juga amat prihatin terhadap masalah kemiskinan, hak tanah dan kebajikan rakyat, termasuklah tanah adat Orang Asal.

Datuk Zaid juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di luar arena politik.

Beliau berhasrat untuk mengembalikan politik Malaysia sebagai politik yang berbincang tentang dasar dan kebajikan rakyat dan politik yang memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat.

Kerja-kerja kebajikan & penerbitan

Pengasas Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), 1998.
Pengasas MyFuture Foundation, yayasan mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia, 2008.

Buku

Dari Hati yang Ikhlas, 2007 & Saya pun Melayu, 2009

Turut terlibat dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan.

Latarbelakang Keluarga & Pendidikan Awal

Datuk Zaid Ibrahim dilahirkan di Kampung Chap - Bachok, Kelantan pada tahun 1951 dalam sebuahkeluarga kampung biasa di kawasan pedalaman. memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran dengan kampungnya, di mana beliau terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah

Menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Sultan Ismail, apabila keluarganya berpindah di kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah beliau, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di pasar besar Kota Bharu.

Semasa berada dalam darjah lima, beliau menerima Biasiswa Kecil Persekutuan sebanyak RM15 sebulan berdasarkan prestasi baik pelajaran beliau dan kesulitan kewangan keluarganya, “saat paling menggembirakan dalam hidup saya” kerana tanpa bantuan tersebut, beliau berkemungkinan tidak dapat meneruskan persekolahannya.

Dengan tekad usahanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran di samping mengembangkan minat membaca di masa lapang di perpustakaan awam di Kota Bharu, Datuk Zaid akhirnya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu iaitu Kolej Sultan Ismail.

Kemahuan beliau untuk menimba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM5 dari ayahnya, Datuk Zaid berpindah ke Johor Bharu atas pilihannya sendiri untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bharu.

Walaupun latarbelakang keluarganya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan pelajar-pelajar di Maktab tersebut, dan ada merasa sedikit terpinggir sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu, dengan galakan dari guru-gurunya, Datuk Zaid berjaya memupuk bakat berpidatonya sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris.

Selepas di Johor Bharu, Datuk Zaid meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana beliau mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.

Pendidikan Tinggi

Datuk Zaid akhirnya melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, Datuk Zaid meneruskan minatnya dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar. Selepas menerima ijazah beliau tiga tahun kemudian, beliau bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarganya dahulu di kampung.

Beliau kemudiannya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar. Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, menyebabkan beliau terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, beliau berjaya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.

Kerjaya Guaman

Selepas pulang ke tanah air, Dato Zaid memulakan latihan chambering beliau dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok, syarikat guaman terbesar di Malaysia pada masa itu. Dari 1976-1979, beliau memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.

Pada tahun 1987, Datuk Zaid nekad untuk menubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.

Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, Datuk Zaid Ibrahim melepaskan kepentingannya di dalam ZICO.

Politik

Pendedahan politik awal Datuk Zaid mula semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayahnya mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat. Dato Zaid mula menjadi ahli UMNO Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihanraya 1990.

Pada tahun 2001, beliau berjaya menjadi Ketua Cawangan UMNO Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tahun 2003. Kerana dilihat telah mempersoalkan kuasa pemimpin UMNO, pada tahun 2005, beliau digantung dari jawatan Ketua Cawangan Kota Bharu. Namun, beliau masih terpilih menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu dari 2004-2008.

Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya 2008, dan menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju Barisan Nasional dan masalah kepemimpinan di dalam UMNO sejurus selepas Mar 8, 2008, Datuk Zaid ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk “untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman”.

Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, Datuk Zaid memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka walaupun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam UMNO.

Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menjadikannya Menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan Menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, Dato Zaid Ibrahim akhirnya dipecat dari UMNO pada Disember 2008.

Pada bulan Jun 2009, Datuk Zaid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman. Datuk Zaid Ibrahim sekarang merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR dan berperanan sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat.

Kerja-kerja Kebajikan dan Sosial

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai keprihatinan yang tinggi terhadap masalah kemiskinan dan kebajikan rakyat biasa. Seawal tahun 1998, Dato Zaid dan isterinya telah menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Pengkalan Chepa untuk memberikan perkhidmatan kepada terutamanya warga emas yang kurang upaya seperti melibatkan mereka dalam kegiatan riadah dan berkebun.

Kini YOKUK menawarkan khidmat kebajikan dan pemulihan percuma kepada lebih 2,500 warga kurang upaya tanpa mengira kaum, usia ataupun jenis ketidak upayaan mereka. Antara khidmat yang diberikan YOKUK termasuklah pelbagai jenis terapi dan perkhidmatan pengangkutan. YOKUK juga merancang untuk menyediakan/memperbaiki 500 rumah warga kurang upaya yang memerlukan bantuan di Kelantan.

Pada tahun 2008, beliau menubuhkan MyFuture Foundation, sebuah yayasan yang bergiat untuk mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia. Beliau juga telah menulis dua buah buku, Dari Hati yang Ikhlas dan Saya pun Melayu, yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan milik keluarganya, yang ditubuhkan untuk menggalakkan budaya penerbitan tempatan.

Selain daripada itu, Dato Zaid Ibrahim juga aktif dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan kerana beliau percaya kebudayaan warisan turun-temurunlah yang dapat memberi pengisian terhadap jatidiri anak bangsa.

Datuk Zaid Ibrahim juga menulis di blognya di http://myzaidibrahim.wordpress.com/ dan berkomunikasi melalui http://twitter.com/zaidibrahim dan di Facebook.

Menyumbangkan Tenaga dan Khidmat untuk Rakyat

Matlamat Datuk Zaid Ibrahim ke Parlimen adalah untuk menyumbangkan tenaga beliau kepada negara yang kita cintai dan melihara kepentingan rakyat dan demokrasi di mana “rakyat dapat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi”.

Beliau mahu membantu memastikan yang undang-undang negara mesti berteraskan keadilan dan tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi kepentingan elit di negara kita yang sudah merugikan rakyat berbilion-billion ringgit selama ini. Penyelewangan kuasa dan rasuah dan penggubalan dasar-dasar yang tidak adil Kerajaan BN telah banyak merugikan dan memiskinkan rakyat, yang dapat dilihat dari masalah tanah yang tidak selesai ke persoalan perumahan dan pendidikan sehinggalah ke pengurusan Petronas yang tidak telus.

Beliau yakin rakyat Malaysia tiada sebab untuk tidak dapat hidup dengan selesa dengan limpah kurnia kekayaan negara ini melainkan disebabkan pilihan-pilihan politik yang buruk dan kerakusan pemimpin memperkayakan diri dan kroni-kroni mereka. Datuk Zaid amat prihatin terhadap nasib masyarakat yang terpinggir, samada disebabkan oleh kemiskinan, masalah kurang upaya ataupun penindasan sistematik yang meminggirkan kaum petani, buruh ladang dan Orang Asal yang masih berleluasa di negara kita.

Datuk Zaid Ibrahim sudah sering mengutarakan bahawa politik di Malaysia sudah lama ‘sakit’ dan harus diangkat mertabatnya. Kita harus berpindah dari kata nista dan serangan berbentuk pribadi, atau tindakan-tindakan yang berbaur perkauman yang melambangkan percaturan politik yang dangkal pemerintah BN, kepada perdebatan tentang dasar dan halatuju negara kita. Tanpa dasar-dasar yang baik, rakyat tidak kira kaum dan budaya akan merasa terpinggir di negara sendiri.

Keadilan dan Kebajikan untuk Semua

Penglibatan aktif Datuk Zaid Ibrahim dalam kerja-kerja kebajikan, keterbukaannya dalam mengkritik dasar-dasar Kerajaan BN yang tidak adil walau ketika beliau masih lagi bersama BN, keberaniannya sebagai Menteri yang mengusulkan proses meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat oleh kerajaan pada tahun 1988 dan Menteri yang meletakkan jawatan atas dasar prinsip menentang konsep penahanan tanpa bicara menunjukkan ketulusan beliau untuk menjaga proses demokrasi, keadilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.

Malah, Datuk Zaid Ibrahim telah memaklumkan dengan jelas bahawa beliau telah menerima tawaran menjadi Menteri undang-undang atas prinsip mahu membantu Kerajaan BN untuk berubah, menghentikan penyalahgunaan kuasa perundangan dan memperbaiki ketelusan dalam proses kehakiman negara. Beliau akhirnya melepaskan jawatan tersebut sambil meminta maaf dengan rendah hati kepada rakyat atas “kegagalan merubah BN”.

Politik Hak, Demokrasi & Kebajikan

Keadilan itu untuk Semua: Penolakan politik perkauman

Kita mesti menolak politik perkauman dengan sekeras-kerasnya. Ini hanya akan dapat dilakukan dengan baik jika kita bersungguh-sungguh menghargai keragaman kebudayaan rakyat kita. Kita mesti menghormati dan mempertahankan hak saksama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tanpa mengabaikan kumpulan-kumpulan terpinggir yang perlu diberikan bantuan. Inilah tuntutan agama Islam dan inilah tuntutan Perlembagaan Malaysia.

Ketuanan Rakyat & Keluhuran Perlembagaan

Kita mesti membela ketuanan rakyat dengan memartabatkan kuasa rakyat dan memelihara proses-proses dan badan-badan yang menjaga demokrasi. Beliau percaya bahawa pilihan-pilihan politik yang bijak hanya akan diambil oleh rakyat yang mempunyai kuasa. Jika mana-mana perkumpulan rakyat ada mengemukakan permasalahan dan tuntutan-tuntutan yang wajar, samada Melayu, Cina, India, Orang Asal atau apapun kaum dan pekerjaan mereka, Kerajaan yang ihsan wajib membantu mereka.

Reformasi Politik & Kepemerintahan Negara

Proses politik kita mestilah memerdekakan dan membebaskan rakyat negara ini dari belenggu kuku besi, perkauman, gejala rasuah dan ketidakadilan.

ISU

Kontroversi tentang keistimewaan kaum Bumiputra

Kerana kritikannya terhadap UMNO yang sudah tenat dengan budaya-budaya tidak sihat, Datuk Zaid Ibrahim memang sudah sering diserang oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan unsur-unsur perkauman untuk melindungi kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi mereka.

Sebagai seorang Bumiputra yang berasal dari keluarga miskin, beliau sudah tentu tidak menentang dasar untuk membantu kaum Bumiputra yang memerlukan. Apa-apa juga dasar yang membantu membasmi kemiskinan dan memberi keistimewaan terhadap orang-orang miskin dan terpinggir, mestilah diteruskan. Namun, kebimbangan beliau terhadap kesan buruk penyalahgunaan ‘keistimewaan’ ini kepada negara kita sering diwar-warkan oleh pihak BN sebagai ‘bukti’ beliau mempersoalkan peruntukan perlembagaan terhadap kaum Bumiputra.

Dasar apa pun tidak boleh disalahgunakan untuk membolehkan penerimaan faedah tanpa usul periksa tentang latarbelakang ekonomi seseorang. Datuk Zaid sebenarnya amat bimbang bahawa Dasar Ekonomi Baru telah menjadi ‘Dasar Ekonomi UMNO’, yang mana ia menggalakkan pemberian subsidi dan bantuan melampaui batas, yang memberikan projek-projek besar negara untuk memperkayakan Bumiputra yang sudah cukup serba serbi dan untuk jentera parti, tanpa memerlukan si penerima faedah berusaha gigih dan berdikari.

Dasar yang disalahgunakan bukan sahaja merugikan negara, tetapi boleh merugikan kaum Bumiputra itu sendiri. Datuk Zaid mahu melihat generasi muda kita memahami bahawa tidak ada jalan mudah dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan. Para jutawan Melayu yang cuba diwujudkan oleh Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah berjaya hidup dengan kemewahan melimpah ruah tetapi kerana menerima habuan dengan mudah dan tanpa ketelusan, mereka tidak mengenal erti susah payah menguruskan perniagaan, dan akhirnya di ambang krisis ekonomi 1998, banyak syarikat mereka lingkup – malah ada yang terpaksa diselamatkan oleh kerajaan dengan wang rakyat yang datang dari semua kaum. Ini belum lagi kita bercerita tentang budaya ali-baba yang ‘menjual’ nama Melayu untuk habuan sendiri tanpa apa-apa usaha. Tabiat-tabiat seperti inilah yang sebenarnya memalukan bangsa.

Semua rakyat harus memahami hakikat ini sedalam-dalamnya. Kejayaan hanya akan dapat diperolehi dengan peningkatan ilmu dan keupayaan secara gigih. Tidak ada kejayaan yang dicapai oleh mana-mana bangsa di dunia ini dengan pertolongan kerajaan semata-mata. Jika kita benar-benar berasa gusar tentang nasib dan masa hadapan bangsa, jalan terbaik kita adalah mempertingkatkan ilmu, berusaha dan bersaing dengan cekal dan tulus, bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan, sindiran dan rintangan serta menolak budaya rasuah dan mengampu.

Kegemilangan bangsa tidak akan dapat dicapai dengan menyemburkan api perkauman dan menyalahertikan ‘keistimewaan’ sebagai ‘ketuanan’ mutlak. Kedua-dua ini adalah perkara yang mempunyai implikasi yang jauh berbeda. Jika kita mahu menjadi Tuan, kita mesti bekerja keras, itu sahaja caranya. Melaungkan tuntutan-tuntutan tanpa janji untuk berusaha keras dan dengan nada berbaur perkauman pula, disertai adegan mencium-cium keris, tidak akan merubah nasib sesebuah bangsa itu. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu sendiri jika sesuatu bangsa itu sendiri tidak berubah.

Seseorang yang menyuarakan pandangan mereka dengan jujur dan tenang, walaupun kedengaran kritis, bukanlah seorang pengkhianat bangsa dan negara. Orang-orang yang berbahaya kepada bangsa dan negara sebenarnya adalah mereka yang meletakkan kepentingan diri di atas kepentingan rakyat. Inilah orang-orang yang menjual nama bangsa untuk mendapatkan habuan tanpa bekerja keras, orang-orang yang merompak harta kekayaan negara, orang-orang yang tidak menghormati hak-hak rakyat, orang-orang yang menahan warga tanpa membenarkan mereka dibicara, orang-orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil dan mereka-mereka yang senang menggalakkan prejudis perkauman.